Wednesday, March 22, 2017

Kisah Pagar & Burung Selanjutnya...

Saya menulis mengenai berbagai-bagai topik di dalam blog ini—ada kisah yang lucu, ada yang sedih, ada yang sekadar berkongsi pengalaman dan sebagainya. Setelah beberapa tahun, saya dah tidak dapat ingat kesemua rencana-rencana yang ditulis, dan kadang-kadang ada pembaca yang baru terjumpa blog ini, agaknya melalui pencarian topik-topik tertentu di Google Search?

Di antara rencana menarik yang saya tulis ialah "Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi", pada bulan Disember 2007. Beberapa tahun selepas itu, mungkin ada pelawat baru ke blog ini yang kebetulan terjumpa rencana tersebut, kemudian memberi komen bahawa peribahasa yang saya gunakan itu salah, sebab pagar tak boleh makan padi. Menurutnya sepatutnya "harapkan pegar, pegar makan padi" yang betul, sebab pegar ialah nama sejenis burung yang memakan padi.

Saya tidak membalas komen tersebut sehingga hampir 2 tahun kemudian dalam rencana bertajuk "Kisah Pagar & Burung", dalam mana saya cuba memberi hujah mengapa saya akan kekal menggunakan PAGAR dan bukan PEGAR. Lepas itu senyap sehingga baru-baru ini apabila ada lagi pengunjung baru yang tiba ke blog ini yang memberi komen yang hampir serupa dengan komen yang pertama itu. Berikutan itu, saya ada berbalas-balas komen dengan pengunjung tersebut (sila baca bahagian komen untuk rencana "Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi" di atas).

Baru-baru ini saya sendiri mencari topik PAGAR dan PEGAR melalui pencarian Google, dan mendapat rencana ini, yang disiarkan di Sinar Online. Nampaknya ada juga orang lain yang bersependapat dengan saya, dan dia ialah orang Melayu.

Mungkinkah hujah-hujah yang saya berikan itu tidak meyakinkan pembaca; atau mungkinkah sebab saya bukan orang Melayu dan dianggap tidak layak untuk beri pendapat mengenai peribahasa Melayu? Justeru itu segala hujah-hujah saya ditolak? 

Mereka yang betul-betul kenal diri saya pastinya tahu penguasaan bahasa Melayu saya bukannya calang-calang juga. Namun demikian, kalaupun tidak sanggup nak baca hujah-hujah saya, diharapkan pembaca sanggup baca hujah-hujah yang diberikan oleh Encik Muhammad Daud dalam rencana Sinar Online di atas.

Saya bukan memaksa orang lain bersetuju dengan pendapat saya. Saya cuma menjawab komen dan kongsi pendapat saja. Kalau pembaca terima, saya gembira. Kalau tak terimapun saya gembira juga, sebab masing-masing berhak mempunyai pendapat masing-masing.


No comments: