Friday, April 24, 2015

Kisah Pagar & Burung

Waktu saya masih di bangku sekolah ketika zaman kuda makan tembaga, lebih kurang seratus tahun dahulu, banyaklah ilmu-ilmu yang ditimba, dan kekal dalam ingatan sehingga kini. Namun bukan semuanya boleh diguna-pakai sebab sesetengah perkara atau ilmu itu sudah mengalami proses pemodenan. 

Kalau dulu kita menggunakan perkataan-perkataan seperti perbahasan dan perbincangan, kini ada kecenderungan menggunakan pendebatan dan diskusi. Agaknya perkataan yang dipinjam dari bahasa lain dianggap lebih canggih dan moden.

Sejak akhir-akhir ini, proses menganak-tirikan Bahasa Malaysia semakin menjadi-jadi. Tetapi proses perubahan bukan hanya terhad kepada cara penggunaan perkataan dan ayat. Nampaknya generasi muda masakini sudah mula mencabar pepatah, peribahasa dan perumpamaan orang dulu-dulu juga!




Demikian tajuk rencana yang ditulis dalam blog ini pada bulan Disember 2007. Tidak pula mendapat sebarang komen, sehingga Oktober 2013 apabila ada pembaca yang komen seperti berikut: 

"bukan pagar la. mana ada pagar makan padi. yg btol nye. harapkan pegar,pegar mkn padi. pegar tu burung pegar" 

Saya tak hiraukan komen tersebut sehingga baru-baru ini bila saya terbaca rencana dalam laman web lain, di mana perkataan pagar dicabar, dan dikatakan salah atas alasan bahawa pagar tak boleh makan padi, sedangkan pegar (iaitu sejenis burung) memangpun makan padi. 

Saya ni bukan pakar bahasa, maka tak bolehlah nak kata mana yang betul mana yang salah, pagar atau pegar. Tetapi jika terpaksa menulis karangan, saya akan gunakan perkataan pagar! Sebabnya pada pendapat saya, perkataan pegar, kalau digunakan dalam konteks peribahasa di atas, tidak masuk akal. 

Perlu diingat bahawa peribahasa ini bertujuan menggambarkan situasi di mana kita menaruh kepercayaan kepada seseorang untuk mengawal atau mempertahankan keselamatan seseorang atau hartabenda, namun orang yang diharapkan itu akhirnya yang merosakkan hartabenda yang dikawal itu. 

Kalau difikirkan secara logik, orang yang diharapkan itu sepatutnya bukan dari golongan orang-orang yang ada kecenderungan untuk merosakkan benda yang dikawal. Jika kita tahu pegar memangpun sudah lumrahnya haiwan memakan padi, takkanlah pula kita nak mengharapkannya mengawal padi untuk kita? Takkanlah kita mengharapkan pencuri mengawal hartabenda kita? Masuk di akalkah kalau harapkan (burung) pegar kawal tanaman padi? 

Memang ada kebenarannya bahawa pagar tak boleh makan padi. Tatapi pagar secara umumnya ialah benteng yang dianggap boleh menghalang haiwan-haiwan memasuki kawasan tanaman. Pagar dalam konteks ini hanya sebagai kiasan seseorang yang memangpun lumrahnya menghalang pencerobohan keatas hartabenda yang dikawal. Memangpun logik jika menaruh harapan keatas orang yang berperwatakan sedemikian dalam tugas mengawal. 

Ungkapan "pagar makan padi" bertujuan menggambarkan keadaan yang secara lazimnya tidak dijangka boleh berlaku, tetapi akhirnya berlaku juga! Kalau burung pegar yang diharapkan mengawal padi, memang boleh dijangka ia akan memakan padi yang dikawal itu bila ia lapar! 

Justeru itu, peribahasa "Harapkan pagar, pagar makan padi", pada pendapat saya, memenuhi syarat dari segi keindahan bahasa, dan kiasan yang digunakan bersesuaian dengan maksud yang ingin disampaikan. 

Atas alasan-alasan sedemikian, "orang lama" ni kekal setia menggunakan perkataan pagar. Kalaupun pembaca tak setuju, dan lebih cenderung kepada pegar, suka hati kamulah, tak payahlah kita gaduh-gaduh pasal burung!


No comments: